Saya sedang menikmati pengalaman pertama untuk berakit air deras—sehingga saya mendengar bunyi jeram yang menggamatkan di hadapan saya. Emosi saya penuh dengan ketidakpastian, ketakutan, dan tidak selamat pada masa yang sama. Aktiviti mengharungi air yang mengalir laju dan jeram deras adalah pengalaman yang sangat menakutkan! Kemudian, segala ini berakhir secara tiba-tiba. Jurupandu di belakang rakit telah mengemudi kami melalui air itu. Saya telah selamat—sehingga kami harus menempuh air deras yang seterusnya.

Peralihan dalam kehidupan kita boleh menjadi seperti pengalaman berakit air deras. Perubahan yang tidak dapat dielakkan pada setiap tahap kehidupan—dari universiti ke tempat kerja, bertukar kerja, tinggal bersama ibu bapa kepada tinggal berseorangan atau dengan pasangan suami atau isteri, bekerja sehingga persaraan, daripada usia muda hingga tua—semuanya dipenuhi dengan ketidakpastian dan perasaan tidak selamat.

Dalam satu daripada peralihan hidup yang paling jelas dalam Perjanjian Lama, Salomo mewarisi takhta ayahandanya Daud. Saya pasti dia tidak yakin dengan masa depannya. Jadi, apakah nasihat ayahandanya? “Engkau harus yakin dan berani. Mulakanlah pekerjaan itu … Dia akan menyertai engkau” (1 Tawarikh 28:20).

Kita pasti mengharungi peralihan yang susah dalam kehidupan. Tetapi dengan Tuhan menyertai kita dalam rakit, kita tidak keseorangan. Dengan menumpukan pandangan anda kepada Dia yang mengemudikan kita melalui jeram deras, kita akan mengalami sukacita serta ketenangan. Dia telah memimpin ramai lagi orang untuk melalui semuanya sebelum ini.