Perkataan disfungsi sering digunakan untuk menerangkan individu, hubungan, organisasi dan kerajaan yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Sementara fungsional merujuk kepada keadaan yang baik, disfungsi adalah bertentangannya—ia bermaksud rosak, tidak berfungsi dengan baik, tidak dapat melakukan sesuatu mengikut tujuan rekaannya.

Dalam suratnya kepada orang Roma, nabi Paulus memulakan dengan menerangkan sifat kemanusiaan yang tidak berfungsi dari segi kerohanian (Roma 1:18-32). Kita semua tergolong dalam kumpulan penentang: “Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak … Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka” (Roma 3:12, 23).

Berita baik adalah “Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka … apabila mereka percaya kepada-Nya” (ayat 24-25). Apabila kita menjemput Kristus menguasai kehidupan kita dan menerima pengampunan dan kehidupan baru daripada-Nya, kita menuju ke arah menjadi orang yang diciptakan mengikut kehendak-Nya. Kita tidak akan menjadi sempurna secara terus, tetapi kita tidak lagi berada dalam keadaan yang terluka dan tidak berfungsi.

Kita menerima kekuatan setiap hari melalui Roh Kudus untuk memuliakan Tuhan dalam segala yang kita katakan serta lakukan, serta “buanglah cara hidup yang lama … Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya. Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci” (Efesus 4:22-24).