Ibu saya yang menjalani gaya hidup yang anggun dan terhormat sepanjang kehidupannya, sekarang berada di katil hospis kerana usianya yang tua. Dia susah untuk bernafas dan keadaannya semakin lemah. Keadaannya amat berbeza dengan hari indah pada musim bunga yang kelihatan di luar tingkap.

Segala persediaan yang dibuat dari segi emosi di dunia ini tidak cukup bagi kita untuk betul-betul menghadapi realiti dalam hal mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang kita. Kematian adalah satu penghinaan!

Saya mengarahkan pandangan saya kepada bekas makanan burung di luar tingkap. Seekor burung grosbeak terbang berdekatan untuk makan benih. Saya terus teringat akan ayat ini: “Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu” (Matius 10:29) apabila Yesus menghantar para pengikut-Nya ke Yudea untuk misi, tetapi prinsip ini adalah untuk kesemua kita. “Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit,” Dia memberitahu mereka (ayat 31).

Ibu saya terbangun dan membuka matanya. Dia teringat akan masa kanak-kanaknya, dia menggunakan satu terma dalam bahasa Belanda untuk memanggil ibunya sendiri (yang sudah lama meninggal dunia) dan mengatakan, “Muti sudah mati!”

“Ya,” isteri saya setuju. “Dia bersama dengan Yesus sekarang.” Ibu meneruskan dengan nada tertanya-tanya. “Joyce dan Jim?” dia bertanya tentang kakak dan abangnya. “Ya, mereka juga telah bersama dengan Yesus,” kata isteri saya. “Tetapi kita akan bersama dengan mereka tidak lama lagi!”

“Susahnya untuk menantikan kedatangan hari itu,” Ibu menjawab dengan lembut.