Apabila saya mengadu bahawa pilihan seorang sahabat saya telah mendalami dosa dan perbuatannya mempengaruhi saya, seorang wanita yang selalu berdoa dengan saya pada setiap minggu ini meletakkan tangannya di atas tangan saya. “Marilah kita berdoa untuk kita semua.”
Saya berkerut dahi. “Untuk kita semua?”
“Ya,” katanya. “Bukankah anda yang berkata bahawa Yesus yang menetapkan tahap kesucian kita, supaya kita tidak perlu membandingkan dosa kita dengan orang lain?”
“Kebenaran ini menyengat saya sedikit,” saya menjawab, “tetapi anda betul. Sikap saya yang menghakimi dan sombong secara rohani tidak berbeza daripada dosa sahabat saya itu.”
“Dengan bercakap tentang kawan anda pun, kita sedang bergosip. Oleh itu—”
“Kita juga sedang berdosa.” Saya menundukkan kepala. “Tolonglah, berdoa untuk kami.”
Dalam Lukas 18, Yesus berkongsi perumpamaan tentang dua orang yang pergi ke rumah Tuhan untuk berdoa tetapi dengan cara berbeza (ayat 9-14). Seperti orang Farisi, kita juga terperangkap dalam keadaan membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita boleh membanggakan diri sendiri (ayat 11-12) dan hidup seakan-akan kita mempunyai hak untuk menghakimi dan memiliki tanggungjawab atau kuasa untuk mengubah orang lain.
Tetapi apabila kita melihat Yesus sebagai contoh kehidupan yang suci dan mengalami kebaikan-Nya diri sendiri, keperluan kita terhadap belas kasihan Tuhan menjadi sangat besar seperti pemungut cukai (ayat 13). Apabila kita mengalami belas kasihan, kasih dan pengampunan Tuhan, kita akan diubah selama-lamanya dan diberi kuasa untuk menanti serta memberikan belas kasihan; bukannya menghakimi orang lain.