Kintsugi ialah seni yang berabad-abad lamanya di Jepun untuk membaiki pasu yang hancur. Habuk emas yang bercampur dengan resin digunakan untuk melekatkan serpihan hancur atau mengisi retakan, sehingga ia kelihatan ikatan yang menarik. Seni ini menukarkan sesuatu yang hancur menjadi cantik, bukannya cuba menutup kesan pembaikan.

Alkitab memberitahu kita bahawa Tuhan menghargai kehancuran hati apabila kita benar-benar meminta pengampunan atas dosa kita. Selepas Daud berdosa kerana berzina dengan Batsyeba dan merancang kematian suaminya, nabi Natan menegurnya dan Daud pun bertaubat. Doa Daud selepas itu memberi kita pandangan kepada apa yang dikehendaki Tuhan apabila kita berdosa: “Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan; jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu, Engkau pun tidak berkenan. Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah; hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima” (Mazmur 51:18-19).

Apabila hati kita hancur kerana melakukan dosa, Tuhan akan membaikinya dengan pengampunan yang tidak ternilai, yang diberikan oleh Penyelamat kita pada kayu salib. Dia menerima kita dengan penuh kasih apabila kita merendahkan diri di hadapan-Nya, dan hubungan kita dengan Tuhan yang akrab pun dipulihkan.

Tuhan kita penuh dengan rahmat dan belas kasihan! Dia mahu kita menjadi rendah hati dan menghargai kebaikan-Nya yang mengagumkan. Semoga ayat Alkitab ini menjadi doa kita pada hari ini: “Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku. Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi” (Mazmur 139:23-24).