Bernyanyi dapat mengubah otak! Ada kajian yang menunjukkan bahawa apabila kita bernyanyi, tubuh kita akan melepaskan hormon yang melegakan kerisauan dan tekanan. Kajian lain menonjolkan bahawa apabila sekumpulan orang bernyanyi bersama-sama, denyutan jantung mereka akan menjadi serentak.
Rasul Paulus mendorong jemaah untuk menggunakan kata-kata daripada mazmur, nyanyian puji-pujian, dan lagu rohani dalam percakapan (Efesus 5:19). Alkitab juga mengulangi ayat “Nyanyikanlah (lagu) pujian” lebih daripada lima puluh kali.
Dalam 2 Tawarikh 20, kita membaca kisah umat Tuhan menunjukkan kepercayaan mereka kepada Tuhan dengan bernyanyi sambil melangkah ke peperangan. Ketika musuh sedang menuju ke arah orang Yehuda, Raja Yosafat berasa takut lalu memanggil semua orang untuk berkumpul bersama. Dia memimpin orang ramai dalam doa yang sungguh-sungguh. Mereka tidak makan atau minum, tetapi hanya berdoa, “Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong” (ayat 12). Pada keesokan harinya mereka berangkat ke medan perang. Mereka tidak dipimpin oleh pahlawan yang paling gagah, tetapi oleh koir mereka. Mereka mempercayai janji Tuhan bahawa mereka akan menang tanpa terlibat dalam peperangan (ayat 17).
Sementara mereka menyanyikan pujian bagi Tuhan sambil berjalan menuju ke peperangan, musuh mereka pula menyerang satu sama lain! Pada waktu umat Tuhan sampai di medan perang, peperangan tersebut sudah selesai. Tuhan telah menyelamatkan umat-Nya apabila mereka berjalan dengan iman menuju kepada peristiwa yang tidak diketahui sambil menyanyikan pujian bagi-Nya.
Tuhan mempunyai tujuan yang baik apabila Dia mendorong kita memuji Dia. Tidak kira kita sedang menuju ke peperangan atau tidak, memuji Tuhan mempunyai kuasa untuk mengubah fikiran, hati dan kehidupan kita.
Hati yang seiring dengan Tuhan
akan menyanyikan pujian kepada-Nya.