Seorang kawan mengirimkan beberapa pasu buatan tangannya kepada saya. Selepas membuka kotak kiriman tersebut, saya mendapati bahawa barangan berharga itu telah rosak semasa dalam perjalanan. Salah satu cawannya telah pecah menjadi serpihan besar, kepingan kecil dan habuk tanah liat. Selepas suami saya menggunakan glu untuk merekatkan semula serpihan-serpihan tersebut, saya mempamerkan cawan yang cacat tetapi cantik itu di almari.

Seperti pasu yang telah direkatkan semula, saya juga mempunyai luka yang membuktikan bahawa saya boleh berdiri teguh selepas Tuhan membawa saya melalui masa-masa yang sukar. Penghiburan Tuhan mengingatkan saya bahawa dengan berkongsi pekerjaan Tuhan dalam dan melalui hidup saya, ini dapat membantu orang lain semasa mereka mengalami penderitaan.

Rasul Paulus memuji Tuhan kerana Dia adalah “Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita” (2 Korintus 1:3). Tuhan memakai pencubaan dan penderitaan untuk menjadikan kita seperti Dia. Penghiburan-Nya pada masa kesusahan melengkapi kita untuk menjadi pendorong kepada orang lain apabila kita berkongsi apa yang telah dilakukan-Nya bagi kita pada saat kita memerlukan-Nya (ayat 4).

Semasa kita merenungkan penderitaan Kristus, kita boleh diilhami untuk tabah semasa kita sendiri menderita, dan mempercayai bahawa Tuhan menggunakan pengalaman kita untuk menguatkan kita dan orang lain sehingga dapat tabah hati dan sabar (ayat 5-7). Seperti Paulus, kita boleh dihiburkan dengan mengetahui bahawa Tuhan akan menyelamatkan kita daripada ujian kehidupan demi kemuliaan-Nya. Kita boleh memberikan penghiburan-Nya dan membawa harapan kepada orang yang terluka.