Ayam-ayam lari bertempiaran ketika lori muatan barang melewati rumah-rumah kecil dan lama di sebuah perkampungan. Kanak-kanak memandang ke arah lori tersebut. Kenderaan sangat jarang melewati perkampungan itu yang jalannya dirosakkan oleh hujan.
Tiba-tiba, sebuah rumah agam yang berdinding tinggi telah dibina. Itulah rumah datuk bandar—walaupun dia tidak tinggal di situ. Rakyatnya kekurangan banyak keperluan asas, sementara dia duduk dalam kemewahan di sebuah bandar yang jauh dari situ.
Ketidakadilan ini menaikkan kemarahan kita. Ia juga membuat nabi Tuhan berasa marah. Apabila Habakuk melihat penindasan yang berleluasa, dia bertanya, “Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku?” (Habakuk 1:2) Tetapi Tuhan mempedulikan, dan Dia berkata, “Malanglah kamu kerana mengambil barang yang bukan milik kamu! … Kamu memperkaya keluarga kamu dengan apa yang kamu peroleh dengan keganasan” (Habakuk 2:6, 9). Penghakiman tiba!
Kita menyambut hukuman Tuhan ke atas orang lain, tetapi titik penting ini dalam kitab Habakuk seharusnya membuatkan kita semua senyap: “TUHAN ada di dalam Rumah-Nya yang suci; hendaklah setiap orang di bumi berdiam diri di hadirat-Nya” (2:20). Setiap orang di bumi. Yang ditindas dan yang menindas. Ada kalanya respons kita yang sewajarnya terhadap kesenyapan Tuhan adalah … kesenyapan!
Mengapakah kesenyapan? Ini kerana kita sering terlepas pandang kemiskinan rohani kita sendiri. Kesenyapan mengizinkan kita menyedari sifat kita yang berdosa di hadirat Tuhan yang kudus.
Kita harus belajar untuk mempercayai Tuhan seperti Habakuk. Kita tidak tahu semua langkah-Nya, tetapi kita tahu bahawa Dia Tuhan yang baik. Tiada yang terlepas daripada penguasaan dan masa-Nya.