Tarikh akhir untuk satu penulisan amat mengganggu saya, manakala pertengkaran dengan suami saya pada awal pagi itu masih berpusar dalam fikiran saya. Saya merenung kursor yang berkelip-kelip, hujung jari diletakkan di atas papan kekunci komputer, sambil berkata dalam hati, Dia bersalah juga, Tuhan.
Apabila skrin komputer menjadi gelap, refleksi menunjukkan muka saya yang marah. Kesalahan yang saya ingin nafikan bukan sahaja menghalang saya melaksanakan kerja di hadapan saya. Ia meregangkan hubungan saya dengan suami saya dan Tuhan saya.
Kemudian saya mengambil telefon bimbit saya, merendahkan diri dan meminta maaf. Saya menikmati ketenangan apabila suami saya juga memohon maaf, saya mengucapkan syukur kepada Tuhan dan dapat menghantar artikel saya tepat pada masanya.
Orang Israel mengalami penderitaan akibat dosa peribadi tetapi mendapat kegembiraan kerana dipulihkan. Yosua memberi amaran kepada umat Tuhan supaya mereka tidak menjadi kaya dengan mengambil apa-apa barangan dalam pertempuran menawan Yerikho (Yosua 6:18). Tetapi Akhan mencuri barangan rampasan dan menyembunyikannya dalam khemahnya (7:1). Selepas dosanya didedahkan dan diselesaikan (ayat 4-12), barulah bangsa itu memulihkan perdamaian dengan Tuhan mereka.
Seperti Akhan, kita sering tidak berfikir bahawa “menyorokkan dosa dalam khemah kita” dapat menjauhkan hati kita daripada Tuhan dan mempengaruhi orang di sekeliling kita. Tindakan yang mengakui Yesus sebagai Tuhan, mengakui dosa kita, dan meminta pengampunan menjadi asas untuk hubungan yang sihat dan setia dengan Tuhan dan orang lain. Dengan berserah kepada Pencipta dan Pembekal kita yang penyayang setiap hari, kita dapat melayani dan menikmati kehadiran-Nya—bersama-sama.