“Persepsi pilih kasih adalah salah satu faktor terbesar persaingan antara adik-beradik,” menurut temu bual Dr. Barbara Howard, seorang pakar perkembangan tingkah laku kanak-kanak bagi artikel dalam talian, “When Parents Have a Favorite Child” di nytimes.com. Yusuf dalam Perjanjian Lama merupakan salah satu contohnya. Dia merupakan anak kesayangan bapanya, hal ini menjadikan abang-abangnya marah (Kejadian 37:3-4). Oleh itu, mereka menjual Yusuf kepada beberapa saudagar keliling yang dalam perjalanan ke Mesir dan menipu seolah-olah dia telah dibunuh oleh binatang liar (37:12-36). Impiannya hancur dan masa depannya kelihatan gelap.
Sepanjang kehidupan Yusuf, dia memilih untuk tetap setia kepada Tuhan dan bergantung kepada-Nya walaupun keadaan hidupnya seolah-olah kelihatan menjadi lebih teruk. Selepas dituduh oleh isteri majikannya dan dipenjarakan untuk sesuatu yang tidak dilakukannya, Yusuf bergelut dengan keadaan ketidakadilannya, namun dia terus mempercayai Tuhan.
Beberapa tahun kemudian, abang-abangnya datang ke Mesir untuk membeli gandum semasa kebuluran melanda. Mereka sangat terkejut apabila mendapati adik yang dibenci itu kini menjadi Perdana Menteri. Namun Yusuf berkata kepada mereka, “Janganlah bersusah hati atau marah kepada dirimu sendiri kerana kamu menjual aku ke mari. Sebabnya Allah menghantar aku untuk mendahului kamu supaya kehidupan dipelihara … bukanlah kamu yang menyuruh aku ke sini, melainkan Allah” (45:5,8).
Kata-kata lembut Yusuf menyebabkan saya tertanya-tanya sama ada saya masih ingin membalas dendam. Atau mungkin saya akan benar-benar mengampuni kerana memiliki hati yang berkeyakinan dalam Tuhan?