Kami berusaha dengan sabar untuk membantu anak lelaki kami sembuh dan menyesuaikan diri dalam kehidupan baharunya dengan keluarga kami. Trauma masa kecilnya di rumah anak yatim menyebabkan dia menunjukkan tingkah laku yang negatif. Walaupun saya berbelas kasihan terhadap kesusahan yang dialaminya sewaktu kecil, saya mula menyisih secara emosi kerana tingkah lakunya. Dengan malu, saya berkongsi pergelutan saya dengan pakar terapinya. Jawapan lembutnya mendedahkan masalah utama kita: “Anak ini memerlukan anda memulakannya … untuk menunjukkan bahawa dia layak dikasihi sebelum dia dapat belajar untuk mengasihi anda.”
Yohanes menggesa penerima suratnya menunjukkan kasih yang mendalam, dengan menyebut kasih Tuhan sebagai sumber dan alasan untuk saling mengasihi (1 Yohanes 4:7, 11). Saya mengakui saya sering gagal menunjukkan kasih kepada orang lain, sama ada orang yang saya tidak kenali, rakan-rakan, atau anak-anak saya sendiri. Namun kata-kata Yohanes menimbulkan keinginan dalam diri saya untuk memperbaharui keinginan dan keupayaan saya untuk melakukannya: Tuhan bertindak terlebih dahulu. Tuhan menghantar Anak-Nya untuk menyatakan kasih-Nya yang mendalam untuk setiap kita. Saya amat bersyukur kerana Dia tidak memberikan respons seperti kita dengan menarik diri daripada kita.
Walaupun perbuatan kita yang berdosa tidak mengundang kasih Tuhan, Dia tetap menawarkannya kepada kita (Roma 5:8). Kasih-Nya yang “terlebih dahulu” mendesak kita mengasihi satu sama lain, sebagai respons kepada kasih-Nya.