Pada suatu hari Ahad, saya berdiri di tepi anak sungai yang mengalir perlahan-lahan melalui komuniti London Utara kami, serta menikmati pemandangan indah kawasan perumahan kami yang pesat. Saya berasa santai ketika melihat air melata dan mendengar kicauan burung. Saya berdoa dan bersyukur kepada Tuhan kerana Dia menolong kita mendapatkan ketenangan bagi jiwa kita.
Tuhan memulakan waktu Sabat—waktu untuk berehat dan pembaharuan—untuk umat-Nya di Timur Tengah purba kerana Dia mahu mereka berkembang maju. Seperti dalam kitab Keluaran, Dia memberitahu mereka agar menanam ladang masing-masing selama enam tahun dan rehat pada tahun ketujuh. Demikian juga dengan bekerja enam hari dan berehat pada hari ketujuh. Cara hidup-Nya memisahkan orang Israel daripada bangsa-bangsa lain, kerana bukan sahaja mereka tetapi warga asing dan hamba yang tinggal di rumah mereka pun perlu mengikut corak ini.
Kita boleh menggunakan hari rehat kita dengan jangkaan dan idea-idea yang kreatif, menanti-nantikan peluang untuk beribadat dan melakukan sesuatu yang boleh meneguhkan jiwa kita dengan cara-cara yang berbeza mengikut pilihan kita. Ada yang suka bermain permainan; ada yang berkebun; ada yang berkongsi makanan dengan rakan-rakan dan keluarga; ada yang tidur sebentar pada waktu petang.
Bagaimanakah kita boleh menemui semula keindahan dan kekayaan pada hari yang diasingkan khususnya untuk berehat ini, jika ia telah hilang dalam kehidupan kita?