Lagu kegemaran Moriah, iaitu cucu perempuan saya ialah salah satu lagu perarakan gubahan John Philip Sousa. Sousa yang dikenali sebagai “Raja Perarakan,” ialah seorang komposer Amerika Syarikat pada akhir abad ke-19. Moriah bukan ahli pancaragam berarak; dia baru berusia 20 bulan. Dia hanya suka nada lagu ini, bahkan boleh bersenandung beberapa not. Dia mengaitkannya dengan waktu gembira. Apabila keluarga kami berjumpa, kami sering bersenandung lagu ini bersama-sama dengan tepukan dan bunyi riuh, dan cucu-cucu saya akan menari atau berarak mengikut rentak itu. Waktu itu sering berakhir dengan kanak-kanak yang pening dan banyak ketawa.

Bunyi sorakan kami mengingatkan saya tentang pemazmur yang memohon kita “Sembahlah TUHAN dengan sukacita” (Mazmur 100:2). Apabila Raja Salomo mentahbiskan Rumah TUHAN, orang Israel merayakannya dengan pujian (2 Tawarikh 7:5-6). Salah satu lagu pujian yang dinyanyikan mungkin termasuklah Mazmur 100. Pemazmur mengisytiharkan, “Bersorak rianglah kepada Tuhan, wahai seluruh bumi … Masuklah ke pintu pagar-Nya dengan mengucap syukur dan ke pekarangan-Nya dengan pujian; bersyukurlah kepada-Nya, dan berkatilah nama-Nya” (ayat 1, 4). Mengapa? “Kerana TUHAN baik; kasih-Nya untuk selama-lamanya” (ayat 5).

Tuhan kita yang baik mengasihi kita! Sebagai respons kesyukuran, marilah kita “bersorak rianglah kepada TUHAN” (Mazmur 100:1).