Pada bulan Jun 2004, Beckie Scott, iaitu seorang pemain ski merentas desa berbangsa Kanada telah menerima pingat emas Olimpik di sebuah galeri seni Vancouver. Itu agak menarik kerana Sukan Olimpik Musim Sejuk telah diadakan pada tahun 2002 di Utah. Masa itu Scott yang memenangi pingat gangsa berada di belakang dua orang atlet yang telah hilang kelayakan beberapa bulan kemudian kerana mereka didapati menggunakan bahan yang diharamkan.

Ini merupakan berita baik kerana akhirnya Scott menerima pingat emasnya, tetapi dia telah kehilangan kesempatan selama-lamanya untuk berdiri di atas podium sambil mendengar lagu kebangsaan negaranya dimainkan. Ketidakadilan itu tidak dapat ditegakkan.

Ketidakadilan dalam apa pun bentuk mengganggu kita, dan pasti terdapat kesilapan yang lebih besar daripada dinafikan untuk menerima pingat setelah menjalani banyak usaha latihan. Kisah Kain dan Habel menunjukkan satu tindakan ketidakadilan yang paling ketara (Kejadian 4:8). Sekali pandang, Kain seolah-olah terlepas daripada hukuman setelah membunuh adiknya. Apatah lagi, dia menjalani kehidupan yang lama dan sempurna, malah akhirnya membina sebuah kota (ayat 17).

Tetapi Tuhan sendiri menegur Kain. “Dari bumi itu, darah adikmu itu berseru-seru kepada-Ku!” (ayat 10). Kemudian Perjanjian Baru merekodkan Kain sebagai contoh yang kita perlu elakkan (1 Yohanes 3:12; Yudas 1:11). Tetapi tentang Habel kita membaca, “Oleh itu setelah Habel mati pun, dia masih berkata-kata” (Ibrani 11:4).

Tuhan amat mempedulikan keadilan, membetulkan yang salah, dan mempertahankan yang lemah. Pada akhirnya, tiada sesiapa pun dapat terlepas daripada apa-apa perbuatan ketidakadilan. Demikian juga Tuhan tidak akan membiarkan kerja yang telah dilakukan dengan iman untuk-Nya terlepas daripada menerima ganjaran.