Alam semesta amat menakjubkan. Sekarang, bulan sedang berputar mengelilingi kita hampir 3700 kilometer sejam. Bumi kita berputar mengelilingi matahari hampir 106210 kilometer sejam. Matahari kita adalah salah satu daripada 200 bilion bintang lain dan trilion planet yang lain dalam galaksi kita, dan galaksi ini hanya satu daripada 100 bilion yang lain meluru di ruang angkasa. Sungguh mengagumkan!
Dengan berbanding dengan kosmos yang luas ini, bumi kecil kita hanya bersaiz lebih kecil daripada sebutir kerikil, dan hidup setiap kita tidak lebih besar daripada sebutir pasir. Namun menurut Alkitab, Tuhan di atas galaksi melayan setiap kita yang mikroskopik dengan amat teliti. Dia melihat kita sebelum kita wujud (Mazmur 139:13-16); Dia memerhati kita dalam kehidupan harian dan mendengarkan setiap pemikiran kita (ayat 1-6).
Kadangkala sukar untuk mempercayai bahawa “kerikil” kecil mempunyai masalah besar seperti kelaparan dan perang, dan kita boleh mempersoalkan penjagaan Tuhan pada masa-masa kita sendiri sedang menderita. Tetapi ketika Raja Daud menulis Mazmur 139, dia sendiri berada di tengah-tengah krisis (ayat 19-20). Ketika Yesus berkata Tuhan mengira setiap helai rambut kepala kita (Matius 10:30), itu masanya Dia akan menghadapi penyaliban. Pernyataan dalam Alkitab tentang penjagaan Tuhan bukan suatu hasrat yang naif. Ia merupakan kebenaran yang nyata di dunia sebenar ini.
Dia yang menjaga galaksi-galaksi yang berputar ini mengenal kita secara peribadi. Itu dapat membantu kita melalui masa-masa yang sukar.