Walaupun cara perhubungan melalui teknologi di dunia ini semakin biasa, tiada yang dapat dibandingi dengan masa bersama orang lain secara peribadi. Apabila kita berkongsi dan ketawa bersama-sama, kita sering boleh merasakan emosi orang lain dengan melihat perasaan yang ditunjukkan pada wajah mereka tanpa disedari. Mereka yang saling mengasihi, sama ada keluarga atau kawan-kawan, suka berkongsi dengan satu sama lain dengan berhadapan muka.

Kita melihat hubungan yang berhadapan muka ini antara TUHAN dan Musa, orang yang telah dipilih Tuhan untuk memimpin umat-Nya. Musa bertumbuh dalam keyakinan selama bertahun-tahun mengikut Tuhan, dan dia terus mengikut-Nya walaupun orang Israel memberontak dan menyembah berhala. Selepas orang Israel menyembah arca anak lembu emas dan bukan Tuhan (lihat Keluaran 32), Musa mendirikan khemah di luar perkhemahan umat Israel untuk bertemu dengan Tuhan, sedangkan mereka hanya melihat dari jauh (33:7-11). Apabila tiang awan menandakan kehadiran Tuhan turun ke dalam khemah itu, Musa membela bagi pihak mereka. Tuhan berjanji bahawa hadirat-Nya akan memimpin mereka (ayat 14).

Kerana kematian Yesus di salib dan kebangkitan-Nya, kita tidak lagi memerlukan seseorang seperti Musa untuk bercakap dengan Tuhan bagi pihak kita. Sebaliknya, seperti yang ditawarkan Yesus kepada para pengikut-Nya, kita boleh memiliki persahabatan dengan Tuhan melalui Kristus (Yohanes 15:15). Kita juga boleh bertemu dengan-Nya, bercakap dengan Tuhan seperti kawan.