Pokok Sequoia, salah satu daripada tiga jenis spesies ‘redwoods’, adalah antara organisma terbesar dan bertahan paling lama di dunia. Ia boleh bertumbuh hingga 91 meter tinggi, berberat lebih 1.1 juta kilogram, dan hidup selama 3,000 tahun. Tetapi saiz dan umur panjang pokok Sequoia yang megah ini bergantung kepada akarnya yang terdapat di bawah permukaan. Jalinan akar sepanjang 3 hingga 4 meter menjalar seluas satu ekar di bawah tanah, menyokong pokok-pokok ini yang memiliki ketinggian menjulang dan berat yang menakjubkan dengan kukuh.
Bagaimanapun, sistem akar yang luas pokok ini adalah kecil berbanding dengan sejarah negara, agama, dan harapan kerana kehidupan Yesus. Pada satu ketika Dia memberitahu sekumpulan pemimpin agama bahawa Alkitab yang digemari dan dipercayai mereka menceritakan kisah-Nya (Yohanes 5:39). Di rumah ibadat Nasaret, Dia membuka gulungan naskhah kitab Yesaya, membaca penerangan tentang Mesias Israel itu, dan berkata, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya” (Lukas 4:21).
Kemudian, selepas kebangkitan-Nya, Yesus membantu para pengikut-Nya memahami kata-kata Musa, nabi-nabi, dan lagu-lagu Israel, serta menunjukkan sebab Dia perlu menderita, mati dan bangkit daripada kematian (24:46).
Alangkah besarnya rahmat Tuhan—apabila melihat Yesus berakar dalam sejarah dan Alkitab satu bangsa, dan melihat kehidupan kita amat perlu berakar pada-Nya.
Seluruh Alkitab membantu kita melihat keperluan kita terhadap Yesus.