Bukankah ia menimbulkan rasa sayang apabila kita melihat kanak-kanak meniru ibu bapanya? Kerap kali kita melihat seorang anak akan menggenggam stereng khayalan di tempat duduk kereta, sambil memandang sungguh-sungguh apa yang akan dilakukan bapa seterusnya.

Saya juga melakukan perkara yang sama ketika saya masih kecil. Tiada apa yang dapat memberikan keseronokan yang lebih besar daripada melakukan apa yang dilakukan bapa saya dan saya pasti dia juga seronok melihat saya meniru tindakannya.

Saya juga berfikir Tuhan mempunyai perasaan yang sama apabila Dia melihat Anak yang dikasihi-Nya melakukan apa yang dilakukan Bapa—menjangkau yang hilang, membantu orang miskin, dan menyembuhkan orang sakit. Yesus berkata, “ Anak tidak dapat melakukan sesuatu dirinya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Anak” (Yohanes 5:19).

Kita juga dipanggil untuk melakukan hal yang sama—”… ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi. Hiduplah dalam kasih …” (Efesus 5:1-2). Apabila kita terus bertumbuh lebih menjadi seperti Yesus, semoga kita berusaha mengasihi seperti Bapa, mengampuni seperti Dia, memberi prihatin seperti Dia, dan hidup menurut cara yang menyenangkan hati-Nya. Ia adalah sesuatu yang menggembirakan apabila kita meniru tindakan-Nya dalam kuasa Roh Kudus, dan mengetahui bahawa ganjaran kita adalah senyuman lembut penuh kasih pada muka Tuhan Bapa kita yang penyayang.