Sebuah gereja di kota saya mempunyai kad aluan pelawat yang unik yang menyatakan kasih dan anugerah Tuhan untuk semua orang. Perkataan yang tertulisnya, “Jika Anda Adalah … orang salih, orang berdosa, orang yang kalah, pemenang”—diikuti dengan banyak istilah lain yang menggambarkan orang yang sedang bergelut—”penagih alkohol, munafik, penipu, penakut, orang yang kekok … Anda dialu-alukan di sini.” Salah seorang pastor gereja itu memberitahu saya, “Kami membaca kad ini dengan kuat bersama-sama dalam kebaktian kami setiap hari Ahad.”
Berapa sering kita menerima label dan mengizinkannya menentukan siapa kita. Begitu mudahnya kita juga memberi label kepada orang lain. Tetapi kasih kurnia Tuhan menentang label kerana ia berakar dalam kasih-Nya, bukan pada persepsi diri kita. Sama ada kita melihat diri kita sebagai indah atau buruk, kuat atau lemah, kita boleh menerima hidup yang kekal sebagai hadiah daripada-Nya. Rasul Paulus mengingatkan pengikut Yesus di Roma bahawa “tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, Kristus telah mati untuk orang yang fasiq” (Roma 5:6).
Tuhan tidak menuntut kita untuk berubah melalui kekuatan kita sendiri. Sebaliknya Dia menjemput kita datang seadanya kita untuk mencari harapan, penyembuhan, dan kebebasan daripada-Nya. “Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (ayat 8). Tuhan bersedia dan sanggup menerima kita seadanya.