Air terjun Iguazu yang terletak di sempadan Brazil dan Argentina, adalah sistem air terjun yang menakjubkan dan terdiri daripada 275 air terjun yang terletak di Sungai Iguazu sepanjang 2.7 km (1.67 batu). Goresan pada dinding air terjun di sebelah Brazil adalah dipetik daripada Mazmur 93:4, “TUHAN yang tinggi di atas segala-galanya, lebih berkuasa daripada deru perairan yang luas—daripada gelombang laut yang hebat.”
Pengarang Mazmur 93, yang menulis kata-kata ini semasa pemerintahan raja-raja, mengetahui bahawa Tuhan ialah Raja yang mutlak di atas semua raja lain. “TUHAN bertakhta,” katanya. “Takhta-Mu, diasaskan dari dahulu; Engkau memang ada selama-selamanya” (ayat 1-2). Tidak kira berapa tinggi banjir atau gelombang, Tuhan tetap lebih besar daripada semua itu.
Deruman air terjun adalah benar-benar hebat, tetapi ia satu hal yang agak berbeza apabila berada di dalam air lalu meluru ke arah air terjun. Mungkin anda berada dalam keadaan seperti ini hari ini. Masalah fizikal, kewangan, atau hubungan muncul lebih besar dan anda berasa seperti anda sedang menuju ke air terjun itu. Dalam situasi ini, orang Kristian boleh berharap kepada seorang Peribadi. Dialah Tuhan, “yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita” (Efesus 3:20) kerana Dia lebih besar daripada segala masalah kita.