Dalam penerbangan baru-baru ini, saya memerhatikan seorang ibu dan anak-anaknya yang duduk beberapa baris di hadapan saya. Sementara kanak-kanak kecilnya yang lain bermain dengan puas hati, ibu itu merenungkan mata anaknya yang baru lahir, tersenyum dan mengusap pipinya. Anak itu merenung kembali dengan mata lebar penuh kekaguman. Saya menikmati masa ini dengan mengenangkan saat-saat manis, memikirkan anak-anak saya sendiri pada usia itu dan musim yang telah berlalu.

Saya merenungkan kata-kata Raja Salomo dalam kitab Pengkhutbah mengenai “sesuatu apa pun di bawah kolong langit” (ayat 1). Dia berucap melalui satu siri kejadian yang mempunyai unsur pertentangan mengenai “segala sesuatu ada musimnya” (ayat 1): “ada waktu untuk dilahirkan dan ada waktu untuk mati, ada waktu untuk menanam dan ada waktu untuk mencabut apa yang ditanam” (ayat 2). Mungkin Raja Salomo dalam ayat-ayat ini berputus asa dengan apa yang dilihatnya sebagai kitaran hidup yang tidak bermakna. Tetapi dia juga mengakui peranan Tuhan pada setiap musim, bahawa kerja kita adalah “pemberian Allah” (ayat 13) dan “segala-gala yang dilakukan Allah tetap ada buat selama-lamanya” (ayat 14).

Kita mungkin merindukan masa-masa lampau dalam kehidupan, seperti saya terfikir akan anak-anak saya semasa mereka masih bayi. Kita tahu, bagaimanapun, Tuhan berjanji untuk menyertai kita pada setiap musim kehidupan kita (Yesaya 41:10). Kita dapat bergantung kepada kehadiran-Nya dan mendapati bahawa tujuan hidup kita adalah berjalan bersama-Nya.