Dalam bukunya Wearing God, penulis Lauren Winner berkata bahawa pakaian kita boleh secara senyap memberitahu orang lain tentang siapa diri kita. Apa yang kita pakai mungkin menandakan kerjaya, masyarakat atau identiti, perasaan, atau status sosial. Fikirkan baju-T dengan slogan, baju perniagaan, pakaian seragam, atau jeans dan segala yang mungkin didedahkan tentang kita. Dia menulis, “Idea bahawa orang Kristian boleh menonjolkan Yesus tanpa kata, seperti pakaian—adalah mengagumkan.”

Menurut Paulus, kita juga boleh mewakili Kristus tanpa kata. Roma 13:14 menyuruh kita “Kenakan Tuhan Yesus Kristus sebagai kelengkapan senjata dan jangan hidup mengikut sifat tabii untuk memuaskan hawa nafsu.” Apakah maknanya? Ketika kita menjadi orang Kristian, kita mengambil identiti Kristus. Kita telah “menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:26). Itulah status kita. Namun setiap hari kita perlu mengenakan sifat-sifat-Nya. Kita melakukan ini dengan berusaha untuk hidup dan menjadi lebih seperti Yesus, bertumbuh dalam kesalihan, kasih, dan ketaatan serta bertaubat daripada dosa-dosa yang pernah memperhambakan kita.

Pertumbuhan dalam Kristus merupakan hasil daripada pekerjaan Roh Kudus dalam kita dan kerinduan kita untuk hidup lebih dekat kepada-Nya melalui pengkajian Alkitab, doa, dan persekutuan dengan orang Kristian yang lain (Yohanes 14:26). Apabila orang lain memperhatikan kata-kata dan sikap kita, apakah kenyataan yang kita tunjukkan tentang Kristus?