Muzikal Hollywood sangat popular pada tahun 1950-an dan 1960-an, dan tiga orang pelakon khususnya—Audrey Hepburn, Natalie Wood dan Deborah Kerr—menjadikan penonton teruja dengan persembahan mereka yang menarik. Tetapi sebahagian besar tarikan para pelakon ini ialah nyanyian mereka yang menakjubkan yang mempertingkatkan lakonan mereka. Malah, kejayaan filem-filem klasik ini sebenarnya adalah bergantung kepada sumbangan besar Marni Nixon, yang mengalih suara bagi setiap wanita terkemuka ini, namun usaha pentingnya langsung tidak mendapat penghargaan untuk jangka masa yang panjang.
Dalam tubuh Kristus sering ada orang yang setia menyokong orang lain yang mengambil peranan lebih menonjol di khalayak ramai. Rasul Paulus amat bergantung kepada orang seperti ini dalam pelayanannya. Tugas Tertius sebagai jurutulis menjadi suara bertulis Paulus yang berkuasa (Roma 16:22). Doa-doa berterusan di belakang tabir daripada Epafras adalah asas penting bagi Paulus dan gereja awal (Kolose 4:12-13). Lidia yang murah hati membuka rumahnya apabila rasul yang letih memerlukan pemulihan (Kisah Rasul-Rasul 16:15). Pelayanan Paulus tidak akan tercapai tanpa sokongan yang diterimanya daripada rakan-rakan sekerja dalam Kristus (ayat 7-18).
Kita mungkin sering mempunyai peranan yang amat tidak ketara, namun kita tahu bahawa ini menyenangkan hati Tuhan apabila kita taat memainkan peranan penting kita dalam rancangan-Nya. Apabila kita “[meneguhkan] pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdian [kita] kepada Tuhan” (1 Korintus 15:58), kita akan mendapat makna dan nilai dalam pelayanan kita kerana ia membawa kemuliaan kepada Tuhan dan menarik orang lain kepada-Nya (Matius 5:16).