Ibu bapa saya berkahwin pada tahun 1933 semasa Zaman Meleset. Isteri saya dan saya pula dilahirkan selepas Perang Dunia II, pada zaman yang mempunyai kadar kelahiran yang paling tinggi. Empat orang anak perempuan kami, lahir pada tahun 70-an dan 80-an, pula merupakan Generasi X dan Y. Oleh sebab kami membesar dalam masa yang berlainan, tidak hairanlah kami mempunyai pendapat yang berbeza tentang banyak perkara!
Setiap generasi amat berbeza dari segi pengalaman hidup dan nilai-nilai mereka. Ini juga benar di kalangan pengikut Yesus. Tetapi tidak kira apa pun yang kita pakai atau jenis muzik yang kita nikmati, ikatan rohani kita adalah lebih kuat daripada semua perbezaan itu.
Mazmur 145, sebuah lagu pujian yang hebat kepada Tuhan, telah mengisytiharkan ikatan iman kita. “Setiap keturunan akan memuji hasil kerja-Mu kepada keturunan lain; dan akan mengisytiharkan perbuatan-Mu yang hebat … Mereka akan bercakap mengingati kebaikan-Mu yang melimpah dan menyanyi dengan gembira tentang perbenaran-Mu” (ayat 4, 7). Dalam kepelbagaian usia dan pengalaman, kita datang bersama-sama untuk membawa kemuliaan kepada Tuhan. “Mereka akan memperkatakan kemuliaan kerajaan-Mu dan berbicara tentang kuasa-Mu” (ayat 11).
Walaupun perbezaan dari segi pendapat dan cita rasa boleh memisahkan kita, perkongsian iman dalam Yesus Kristus Tuhan akan mengumpulkan kita untuk saling mempercayai, menggalakkan, dan memberikan pujian. Apa pun umur dan pandangan kita, kita memerlukan satu sama lain! Tidak kira generasi yang kita tergolong, kita boleh belajar daripada satu sama lain dan bersama-sama memuliakan Tuhan—”Untuk memberitahu anak-anak manusia mengenai perbuatan-[Nya] yang hebat, serta kemuliaan dan keagungan kerajaan-[Nya]” (ayat 12).
adalah hidup dan aktif bagi semua generasi.