Walaupun ia hanya satu replika, khemah TUHAN yang dibina di selatan Israel sungguh mengagumkan. Ia dibina mengikut saiz sebenar dan sehampir mungkin dengan spesifikasi yang dibentangkan dalam Keluaran 25-27 (tanpa emas yang sebenar dan kayu akasia), ia berdiri megah di padang gurun Negev.

Apabila kumpulan pelancongan kami dibawa melalui “Tempat Suci” dan masuk ke dalam “Tempat Yang Maha Suci” untuk melihat “tabut perjanjian,” sesetengah kami berasa teragak-agak. Bukankah ini tempat yang paling suci, dan hanya imam besar dibenarkan masuk? Mengapakah kami boleh masuk begitu sahaja?

Saya dapat membayangkan perasaan takut orang Israel setiap kali mereka menghampiri khemah pertemuan itu dengan korban-korban mereka, mengetahui bahawa mereka datang ke hadirat Tuhan Yang Maha Kuasa. Selain itu, ketakjuban pastilah juga dirasakan semasa Tuhan menyampaikan pesan-Nya untuk mereka melalui Musa.

Hari ini, anda dan saya boleh datang terus kepada Tuhan dengan penuh keyakinan, mengetahui bahawa pengorbanan Yesus telah merobohkan halangan di antara kita dan Tuhan (Ibrani 12:22-23). Setiap kita boleh bercakap dengan Tuhan pada bila-bila masa, dan mendengar daripada-Nya secara langsung apabila kita membaca firman-Nya. Kita menikmati akses langsung yang hanya boleh diimpikan oleh orang Israel pada masa kuno. Semoga kita tidak memandang ringan, sebaliknya menghargai keistimewaan yang boleh datang kepada Bapa setiap hari sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya.