Oleh sebab bimbang akan kebiasaan buruk pelajarnya dalam penulisan, penulis terkenal dan profesor universiti, David Foster Wallace mempertimbangkan bagaimana dia boleh mempertingkatkan kemahiran mereka. Itulah masanya dia terfikir akan satu soalan yang mengejutkan. Profesor tersebut terpaksa bertanya kepada dirinya sendiri mengapa seseorang pelajar harus mendengarkan seseorang yang memiliki sikap “bangga diri, berfikiran sempit, menganggap diri sendiri betul, dan meninggikan diri” seperti dirinya. Dia menyedari bahawa dia mempunyai masalah keangkuhan.
Profesor itu boleh dan telah pun mengubah sikapnya, tetapi dia tidak dapat menjadi salah seorang muridnya. Namun ketika Yesus datang ke dunia, Dia memperlihatkan kepada kita apa itu kerendahan hati dengan cara menjadi seperti satu daripada kita. Yesus mengharungi segala jenis batasan, malah Dia berasa senang ketika berada di mana sahaja melalui tugas pelayanan, mengajar, dan melakukan kehendak Bapa-Nya.
Walaupun ketika Dia disalibkan, Yesus berdoa bagi orang yang menyalibkan-Nya (Lukas 23:34). Dengan sedaya upaya menarik nafas yang begitu menyeksa, Dia masih memberikan hidup kekal kepada penjenayah yang disalibkan bersama-Nya (ayat 42–43).
Mengapakah Yesus melakukan hal itu? Mengapakah Dia harus melayani orang seperti kita sehingga ke akhirnya? Rasul Yohanes tahu jawapannya. Disebabkan kasih! Dia menulis, “Dengan demikian kita tahu bagaimana cara mengasihi seseorang: Yesus Kristus telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita.” Dia memberi keyakinan tentang hal itu. “Oleh itu kita harus menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita” (1 Yohanes 3:16).
Yesus memperlihatkan kepada kita bahawa kasih-Nya menghapuskan sikap-sikap kita yang sombong, bangga dan meninggikan diri. Dia juga melakukannya dengan cara yang paling hebat, dengan memberikan nyawa-Nya.