Ketika saya berumur enam tahun, saya telah menaiki roller coaster buat pertama kalinya bersama dengan abang-abang saya. Semasa roller coaster itu bergerak pada kelajuan yang tinggi, saya mulai berteriak: “Hentikan benda ini sekarang juga! Saya mahu turun!” Roller coaster itu sudah pastinya tidak akan berhenti, dan saya terpaksa bertahan, berpegangan sekuat mungkin pada pegangan tangan sampai akhir.

Kadangkala hidup ini rasanya seperti menaiki roller coaster yang tidak diinginkan, dengan “cerun” curam dan selekoh tajam yang tidak diduga. Apabila kesukaran yang tidak disangka-sangka berlaku, Alkitab mengingatkan kita bahawa jalan keluar yang terbaik adalah meletakkan kepercayaan dalam Tuhan. Ketika serangan mengancam negeri nabi Yesaya, ia merupakan satu masa yang kacau-balau. Tetapi nabi Yesaya yang diinspirasikan oleh Roh menanggapi janji yang penuh kuasa daripada Tuhan: “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu” (Yesaya 26:3).

Sejahtera yang diberikan oleh Penyelamat ketika kita percaya kepada-Nya adalah “melebihi pengertian manusia” (Filipi 4:7). Saya tidak akan melupakan kata-kata seorang wanita yang sedang bergelut dengan penyakit kanser payudara. Selepas sekumpulan jemaah dari gereja kami berdoa untuknya pada suatu petang, dia berkata, “Saya tidak tahu apa yang akan terjadi, tetapi saya tahu saya akan baik-baik sahaja, kerana Tuhan menyertai kita di sini pada malam ini.”

Hidup ini pasti ada kesulitan, tetapi Penyelamat kita yang sangat mengasihi kita sehingga mengorbankan diri-Nya, adalah jauh lebih besar daripada semua kesulitan itu.