Kata-kata doktor membuatkan hatinya berdebar. “Itu penyakit kanser”. Dunianya seumpama berhenti berputar ketika dia memikirkan suami dan anak-anaknya. Mereka sudah berdoa dengan tekun, dan mengharapkan keputusan yang berbeza. “Apakah yang akan terjadi kepada keluarga saya?” Dengan air mata yang meleleh di pipi, dia berkata secara lembut, “Ya Tuhan, ini di luar kawalan kami. Jadilah kekuatan kami.”

Apakah yang akan kita lakukan ketika menerima berita buruk tentang laporan kesihatan kita, ataupun keadaan kita berada di luar kawalan kita? Dari manakah pertolongan kita ketika hidup ini nampaknya tidak mempunyai harapan?

Situasi nabi Habakuk berada di luar kawalannya, dan ketakutan yang dirasainya telah menggentarkannya. Penghakiman yang akan datang adalah malapetaka (Habakuk 3:16-17). Tetapi, di tengah-tengah huru-hara yang melanda, Habakuk membuat pilihan untuk hidup dengan iman (2:4) dan bersukacita kerana Tuhan (3:18). Keyakinan dan iman Habakuk tidak bergantung kepada situasinya, kemampuannya mahupun sumbernya, melainkan kebaikan dan kebesaran Tuhan. Kepercayaannya kepada Allah menambat hatinya untuk mengisytiharkan: “ALLAH Tuhan kekuatanku. Dia membuat kakiku melangkah seperti kaki rusa, dan melancarkan jejakku di tempat-tempatku yang tinggi” (ayat 19).

Apabila kita sedang menghadapi keadaan sukar—kesakitan penyakit, krisis keluarga, masalah kewangan—kita juga hanya perlu meletakkan iman dan kepercayaan kita kepada Tuhan. Dia menyertai kita dalam apa jua yang kita hadapi.