Thomas Barnado telah memasuki Sekolah Perubatan Hospital London pada tahun 1865, dan bercita-cita menjadi seorang mubaligh perubatan di negara China. Namun Barnado kemudiannya mendapati bahawa ada satu keperluan yang sangat mendesak di halaman depan tempat tinggalnya—begitu banyak kanak-kanak terbiar yang hidup dan mati di lorong-lorong jalan di London. Barnado memutuskan untuk melakukan sesuatu untuk mengubah situasi yang dahsyat ini. Setelah siap membangunkan rumah-rumah bagi kanak-kanak yang miskin di timur London, Barnado telah menyelamatkan sekitar 60,000 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan daripada kemiskinan dan kematian awal. Seorang ahli teologi dan pastor, John Scott berkata, “Pada hari ini, Barnado boleh digelar sebagai pelindung santo bagi kanak-kanak jalanan.”

Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang seperti itulah yang empunya kerajaan syurga” (Matius 19:14). Bayangkan orang ramai dan pengikut-pengikut Yesus sendiri pasti terkejut dengan penyataan yang tegas itu. Pada zaman purba, kanak-kanak memiliki nilai yang kecil dan dipinggirkan kerana mereka dianggap tidak penting. Tetapi Yesus menerima, memberkati dan menghargai mereka.

Yakobus, seorang penulis Perjanjian Baru, mencabar para pengikut Yesus dengan berkata, “Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu … yang menanggung kesusahan” (Yakobus 1:27). Pada hari ini, seperti anak-anak yatim piatu pada abad pertama, kanak-kanak dari setiap lapisan sosial, etnik, dan persekitaran keluarga terdedah kepada pengabaian, penyeludupan manusia, penderaan, dadah, dan banyak lagi. Yesus sangat mengasihi kanak-kanak kecil, bagaimanakah kita boleh menjaga mereka dengan sebaik-baiknya, bagi memperlihatkan kasih Tuhan?