Apabila saya berfikir tentang perlindungan, saya tidak secara langsung memikirkan bulu pelepah seekor burung. Walaupun bulu pelepah burung mungkin merupakan bentuk perlindungan yang lemah pada pandangan kita, namun ia mempunyai maksud lain yang amat penting.

Bulu pelepah burung merupakan contoh yang mengagumkan dalam ciptaan Tuhan. Bulu pelepah mempunyai bahagian yang licin dan bahagian yang penuh dengan bulu. Bahagian licin ini mempunyai cangkuk keras berserta dengan cangkuk kecil yang saling bercantum seperti gigi zip. Bahagian yang penuh dengan bulu pula memanaskan badan burung. Kedua-dua bahagian bulu pelepah itu melindungi burung daripada angin dan hujan.

Namun anak-anak burung hanya ditutupi dengan bahagian berbulu kerana burung-burung ini belum matang. Jadi induk burung harus menutupi anak-anak dalam sarang dengan bulu sendiri, supaya dilindungi daripada angin dan hujan. Gambaran bahawa Tuhan “akan meliputimu dengan bulu-Nya” dalam Mazmur 91:4 dan bahagian Alkitab yang lain (lihat Mazmur 17:8) adalah salah satu daripada kata-kata yang menenangkan dan memberikan perlindungan. Gambaran yang timbul dalam fikiran adalah seekor induk burung menutupi anak kecilnya dengan bulunya. Seperti tangan ibu bapa, ia merupakan tempat yang selamat untuk melindungi kita daripada ribut yang menakutkan ataupun hati yang terluka, demikianlah perlindungan yang diberikan oleh hadirat Tuhan dapat memberi kita keselamatan dan perlindungan daripada badai hidup yang penuh emosi.

Walaupun kita melalui kesusahan dan penderitaan batin, kita boleh menghadapinya tanpa ketakutan selagi pandangan kita tertumpu pada Tuhan. Dia ialah penaung kita (91:2,4,9).