“Suami saya telah ditawarkan kenaikan pangkat di negara lain, tetapi saya risau untuk meninggalkan rumah kami, jadi dia pun dengan berat hati menolak tawaran tersebut,” kata seorang kawan kepada saya. Dia menerangkan bagaimana kekhuatiran ke atas peluang besar seperti itu terus menghalangnya daripada mendapat pengalaman baru. Menurutnya lagi, kadangkala dia tertanya-tanya akan perkara yang terlepas untuk dinikmati kerana menolak perpindahan itu.
Orang Israel membiarkan kekhuatiran menghalang mereka daripada bergerak ketika mereka disuruh untuk mendiami negeri yang kaya dan subur, tempat yang “berlimpah-limpah susu dan madu itu” (Keluaran 33:3). Apabila mereka mendengar laporan tentang bangsa yang tinggal di negeri itu sangat kuat (Bilangan 13:28), mereka mulai berasa takut. Akibatnya, kebanyakan rakyat Israel menolak panggilan untuk memasuki tanah tersebut.
Tetapi Yosua dan Kaleb mendorong mereka percaya kepada Tuhan. Mereka berkata, “Janganlah kamu takut kepada rakyat negeri itu” kerana “TUHAN menyertai kita” (Bilangan 14:9). Walaupun bangsa di situ kelihatan gagah, orang Israel boleh mempercayai Tuhan akan menyertai mereka.
Kawan saya tidak disuruh untuk berpindah ke negara lain seperti orang Israel itu, tetapi dia menyesal kerana dia membiarkan ketakutannya menutup peluang tersebut. Bagaimanakah dengan anda—adakah anda menghadapi situasi yang menakutkan? Jika demikian, ketahuilah bahawa Tuhan berserta dengan anda dan akan memimpin anda. Dengan kasih-Nya yang kekal, kita boleh bergerak maju ke hadapan dengan iman.