65 juta orang. Itulah jumlah pelarian di dunia ini sekarang—orang yang terpaksa meninggalkan rumah disebabkan oleh konflik dan penganiayaan—dan jumlah itu mencapai puncak yang tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengemukakan petisyen kepada para pemimpin negara untuk bekerjasama dalam hal menerima pelarian supaya setiap kanak-kanak akan mendapat pendidikan, setiap orang dewasa akan mendapat pekerjaan, dan setiap keluarga akan memperoleh tempat tinggal.
Impian tentang membuat tempat tinggal bagi para pelarian yang berada dalam krisis mengingatkan saya bahawa janji Tuhan yang diberikan kepada negara Yehuda ketika tentera-tentera Asyur yang kejam telah mengancam tempat tinggal mereka. Tuhan menugaskan nabi Mikha untuk memberikan amaran kepada umat-Nya bahawa mereka akan kehilangan rumah ibadat dan kota Yerusalem yang dicintai mereka. Tetapi Tuhan juga menjanjikan masa depan yang indah selepas segala kehilangan yang dialami mereka.
Mikha berkata, pada masa akan datang, Tuhan akan memanggil orang di seluruh dunia kembali kepada-Nya. Keganasan akan berakhir. Senjata-senjata peperangan akan menjadi peralatan untuk bertani, dan setiap orang yang menjawab panggilan Tuhan akan tinggal di rumah yang penuh kedamaian dan hidup yang berkemenangan dalam kerajaan-Nya (Mikha 4:3-4).
Bagi ramai orang di dunia pada hari ini, dan mungkin juga bagi anda, memiliki rumah yang selamat hanyalah satu impian. Tetapi kita boleh bersandar kepada janji Tuhan dari awal, iaitu Dia akan menyediakan rumah untuk seluruh bangsa. Sementara kita menunggu dan bekerja, berdoalah bagi rumah yang aman damai itu supaya ia menjadi satu kenyataan.