Setiap hari Sabtu, keluarga saya akan berada di akhir garisan penamat untuk memberikan sorakan kepada anak perempuan saya ketika dia menyertai kumpulan larian merentas desa di sekolah tingginya. Selepas melepasi garisan penamat, para atlet akan bergabung semula dengan rakan sepasukan, jurulatih dan ibu bapa mereka. Orang ramai juga akan mengerumuni para atlet yang biasanya terdiri lebih daripada 300 orang. Ini menyukarkan kita untuk mencari seseorang di kalangan orang ramai itu. Kami mencari-cari antara orang ramai dengan perasaan yang sangat gembira sehingga kami melihat anak kami. Dengan tidak sabar kami ingin memeluk dia, satu-satunya atlet yang kami datang semata-mata untuk menyokong dia: anak perempuan kami yang tersayang.
Selepas tujuh puluh tahun pembuangan di Babel, Tuhan membawa orang Yahudi pulang ke Yerusalem dan Yudea. Yesaya menghuraikan kegembiraan Tuhan atas mereka, serta menyediakan jalan kepulangan dan pintu gerbang untuk menyambut mereka semula. Tuhan mengesahkan sekali lagi tentang panggilan-Nya ke atas mereka sebagai umat kudus-Nya dan memulihkan maruah mereka dengan nama baru, “Yang Dicari, Kota yang Tidak Ditinggalkan” (Yesaya 62:12). Tuhan mencari mereka yang dicerai-beraikan di seluruh Babel untuk membawa mereka kembali kepada-Nya.
Seperti anak-anak Israel, kita juga adalah anak-anak yang dikasihi dan sangat diperhatikan oleh-Nya. Suatu masa dahulu dosa kita telah memisahkan kita daripada-Nya, tetapi pengorbanan Yesus telah membuka jalan agar kita boleh kembali kepada-Nya. Dia ingin sekali mencari setiap kita di kalangan orang lain, menanti-nanti untuk memberi kita pelukan yang penuh kasih.