“Adakah Tuhan sedang melakukan sesuatu yang baru dalam kehidupan anda?” Pertanyaan ini diajukan oleh seorang pemimpin dalam sebuah kumpulan yang saya sertai. Kawan saya, Mindy, yang menghadapi beberapa situasi masalah telah menjawab soalan ini. Dia memberitahu bahawa dia memerlukan kesabaran untuk menjaga ibu bapanya yang lanjut usia, stamina kerana isu-isu kesihatan suaminya dan pemahaman akan anak-anak dan cucu-cucunya yang belum memilih untuk mengikut Yesus. Kemudian, dia membuat komen yang bermakna, malah berlawanan dengan apa yang kita biasa fikirkan. “Saya percaya perkara baru yang sedang dilakukan Tuhan adalah Dia sedang mengembangkan kesungguhan dan kesempatan saya untuk mengasihi orang.”

Kata-kata Mindy menggemakan doa rasul Paulus kepada orang percaya yang baru di Tesalonika: “Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu” (1 Tesalonika 3:12). Dia telah mengajar mereka tentang Yesus tetapi dia harus meninggalkan mereka secara tiba-tiba kerana kerusuhan (Kisah Para Rasul 17:1-9). Sekarang dalam suratnya dia mendorong mereka terus berdiri teguh dalam iman (1 Tesalonika 3:7-8). Dia juga berdoa kepada Tuhan supaya mereka akan semakin mengasihi sesama manusia.

Ketika kesusahan melanda hidup kita, kita sering bersungut dan bertanya, “Mengapakah?” Atau tertanya-tanya, “Mengapakah saya yang menghadapi ini?” Cara lain untuk mengatasi perkara-perkara ini adalah meminta Tuhan untuk memperluas kasih-Nya dalam hati kita dan menolong kita mengambil setiap kesempatan yang baharu untuk mengasihi orang lain.