Saya menggunakan penulisan untuk menyembah dan melayani Tuhan, lebih-lebih lagi masalah kesihatan telah menghambat pergerakan saya. Jadi, ketika seorang kenalan mengatakan dia tidak menjumpai nilai dalam apa yang saya tulis, saya menjadi putus asa. Saya mula meragukan kepentingan dalam persembahan saya yang kecil ini kepada Tuhan.

Melalui doa, pembacaan Alkitab dan dorongan daripada suami, keluarga dan kawan-kawan saya, Tuhan menegaskan bahawa hanya Dia—bukan pendapat orang lain—dapat menentukan motif kita sebagai seorang penyembah dan nilai daripada persembahan kita kepada-Nya. Selepas itu saya berdoa kepada Pemberi atas segala kurnia, untuk terus menolong saya mengembangkan kemahiran dan menyediakan peluang supaya saya dapat berkongsi sumber yang diberikan-Nya.

Sistem ukuran Yesus berbeza daripada kita dalam hal pemberian (Markus 12:41-44). Sementara orang kaya memasukkan jumlah wang yang banyak ke dalam peti wang persembahan di Rumah Tuhan, seorang balu miskin memasukkan duit syiling “yang sangat kecil nilainya” (ayat 42). Tuhan menyatakan persembahannya lebih besar daripada yang lain (ayat 43), walaupun persembahan balu itu seolah-olah tidak penting bagi orang di sekelilingnya (ayat 44).

Meskipun cerita balu adalah berfokuskan persembahan wang, segala persembahan yang dilakukan boleh menjadi penyembahan dan ketaatan yang penuh kasih kepada Tuhan. Seperti balu itu, kita menghormati Tuhan dengan kurniaan yang diberikan-Nya kepada kita secara rela, penuh kemurahan hati, dan sanggup mengorbankan diri. Apabila kita memberikan waktu kita yang terbaik, kurnia-kurnia, atau harta dengan hati yang tergerak oleh kasih kepada Tuhan, kita mempersembahkan korban yang tidak ternilai kepada Dia.