Ketika saya merenung ke luar tingkap, saya mendengar kicauan burung dan melihat pokok-pokok meliang-liuk kerana ditiup angin yang lemah lembut. Beberapa bandela jerami berhimpun di atas padang yang baru diusahakan oleh jiran saya, dan gumpalan awan-awan putih amat menonjol di langit biru yang cerah.

Saya menikmati suasana yang seperti “syurga” pada saat itu—kecuali bunyi bising lalu lintas yang tidak henti-henti kedengaran di depan rumah saya dan sedikit kesakitan yang dirasai di belakang badan. Saya menggunakan perkataan syurga dengan bersahaja kerana dunia kita pernah merupakan suatu tempat yang sungguh baik, walaupun kini tidak lagi. Apabila manusia berdosa, kita diusir dari Taman Eden dan tanah dikutuk (lihat Kejadian 3). Sejak itu bumi dan segala isinya telah menjadi “belenggu kemusnahan”. Penderitaan, penyakit dan kematian kita adalah akibat daripada kejatuhan manusia ke dalam dosa (Roma 8:18-23).

Namun Tuhan membuat segala yang baru. Suatu hari tempat kediaman-Nya berserta umat-Nya di tempat yang baru dan dipulihkan—“langit baru dan bumi baru”, bahawa “Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap” (Wahyu 21:1-4). Sehingga hari itu, kita akan menikmati percikan cahaya dan kadang-kadang kita akan melihat keindahan alam yang menakjubkan di sekeliling kita, dan segala ini hanya mencerminkan sekilas pandangan tentang “syurga”.