Semasa makan malam dengan kawan saya, dia meluahkan perasaan radangnya terhadap salah seorang ahli keluarganya. Namun dia enggan menegur orang tersebut mengenai tabiat buruknya yang mengabaikan atau memperolok-olokkannya. Ketika dia cuba bersemuka dengannya mengenai masalah ini, orang tersebut menjawab dengan kata-kata menyindir. Hal ini mengakibatkan meletusnya perasaan marah yang teramat sangat terhadap orang itu. Kedua-dua pihak saling mempertahankan diri sehingga perselisihan dalam keluarga itu kian melebar.
Saya memahami keadaan seperti tersebut, kerana saya mengendalikan kemarahan dengan cara yang sama. Saya juga sukar menegur orang lain. Sekiranya kawan atau ahli keluarga saya mengatakan sesuatu yang kasar, saya biasanya menahan perasaan saya sehingga orang tersebut atau orang lain datang dan berkata atau melakukan lagi sesuatu yang bersifat kasar. Selepas beberapa ketika, perasaan marah saya itu akan meletus.
Mungkin itulah sebabnya rasul Paulus berkata dalam Efesus 4:26, “Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam.” Dengan menentukan had masa bagi isu-isu yang tidak dapat diselesaikan, ia akan menyekat kemarahan. Daripada memendamkan kesalahan orang lain sehingga mengakibatkan timbulnya perasaan pahit, lebih baik kita meminta agar Tuhan membantu kita “[bercakap] benar dalam kasih” (Efesus 4:15).
Adakah anda mempunyai masalah dengan seseorang? Daripada memendamkan perasaan itu, lebih baik anda menyerahkan hal itu kepada Tuhan terlebih dahulu. Dia boleh melawan api kemarahan dengan kuasa pengampunan dan kasih-Nya.
Padamkan api kemarahan sebelum ia merebak di luar kawalan.