Apabila saya membeli telefon bimbit di Timur Tengah, saya ditanya soalan-soalan biasa: nama, kewarganegaraan dan alamat. Tetapi semasa kerani itu sedang mengisi borang itu, dia bertanya, “Siapakah nama bapa anda?” Soalan itu mengejutkan saya, dan saya tertanya-tanya kepentingan soalan itu. Sebenarnya nama bapa saya tidak penting dalam budaya saya, tetapi ia diperlukan untuk menentukan identiti saya di negara tersebut. Dalam kebudayaan tertentu, keturunan adalah mustahak.

Umat Israel juga mempercayai kepentingan keturunan. Mereka amat bangga kerana Abraham, bapa leluhur mereka, dan mereka menganggap bahawa sebagai sebahagian daripada puak Abraham sudah menjadikan mereka anak Tuhan. Pada pendapat mereka, keturunan mereka di dunia ini adalah sama dengan keluarga rohani mereka.

Beberapa ratus tahun kemudian, apabila Yesus bercakap dengan orang Yahudi, Dia menunjukkan bahawa ini bukan halnya. Mereka boleh berkata bahawa Abraham ialah nenek moyang mereka di dunia ini, tetapi jikalau mereka tidak mengasihi Dia—Yesus yang dihantar oleh Bapa—mereka bukan anggota keluarga Tuhan.

Hal ini sama dengan keadaan kita pada hari ini. Kita tidak memilih keluarga kita di dunia ini, tetapi kita boleh membuat keputusan untuk menyertai keluarga rohani. Jikalau kita percaya dalam nama Yesus, Tuhan memberi hak kepada kita untuk menjadi anak-Nya (Yohanes 1:12).

Siapakah Bapa rohani anda? Adakah anda sudah membuat keputusan untuk mengikut Yesus? Semoga hari ini anda akan percaya kepada Yesus, Dia mampu mengampuni dosa-dosa anda dan anda boleh menjadi salah seorang anggota keluarga Tuhan.