Dalam Sukan Olimpik Rio pada tahun 2016, dua orang atlet dalam lumba lari 5,000 meter telah menarik perhatian dunia. Kira-kira sampai 3,200 meter dalam perlumbaan tersebut, pelumba Nikki Hamblin dari New Zealand dan Abbey D’Agostino dari Amerika Syarikat telah bertembung lalu terjatuh. Abbey bangkit dengan cepat, tetapi dia berhenti berlari untuk membantu Nikki. Beberapa ketika selepas dua orang atlet ini berlari semula, Abbey mulai berjalan terhuyung-huyung dan terjatuh, akibatnya kaki kanannya cedera. Kali ini giliran Nikki pula untuk berhenti dan memberi galakan kepada rakan atletnya itu untuk menamatkan perlumbaan. Apabila Abbey akhirnya melintasi garisan penamat, Nikki sedang menunggu untuk memeluknya. Alangkah indahnya gambaran ini yang saling memberi galakan!

Ia mengingatkan saya tentang satu petikan dalam Alkitab: “Berdua lebih baik daripada bersendiri … Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya, tetapi malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya” (Pengkhutbah 4:9-10). Sebagai pelari dalam perlumbaan rohani, kita memerlukan satu sama lain—mungkin lebih daripada itu, kerana kita bukan berlumba dalam pertandingan sesama kita tetapi kita tergolong dalam pasukan yang sama. Terdapat saat-saat yang kita mungkin berjalan terhuyung-huyung dan memerlukan seseorang untuk mengangkat kita; pada masa yang lain, seseorang mungkin memerlukan kita menggalakkan dia melalui doa atau menemani dia.

Perlumbaan rohani bukannya sesuatu yang dilakukan sendiri. Adakah Tuhan sedang memimpin anda untuk menjadi Nikki atau Abbey dalam kehidupan seseorang? Berilah respons kepada gesaan-Nya hari ini, dan marilah kita mengakhiri perlumbaan!