Sebuah buku kanak-kanak yang terkenal menceritakan kisah tentang Bartholomew, iaitu seorang budak lelaki desa yang miskin. Pada suatu hari dia menanggalkan topinya untuk memberi hormat kepada raja. Namun topi yang kelihatan sama akan muncul dengan serta-merta di atas kepalanya, ini pun membangkitkan kemurkaan raja kerana semua ini menyebabkan baginda kelihatan seolah-olah tidak dihormati. Bartholomew pun bergelut untuk menanggalkan topi demi topi ketika diiringi ke istana untuk menghadapi hukuman. Pada setiap masa, topi yang baharu tetap muncul di atas kepalanya. Topi-topi tersebut menjadi semakin istimewa, malah mengandungi permata yang berharga dan bulu hiasan. Topi yang ke-500 menjadi topi kegemaran Raja Derwin, sehingga dia mengampuni Bartholomew serta membeli topi itu dengan 500 keping emas. Akhirnya, tiada topi lagi di atas kepala Bartholomew; dia pun pulang dengan kebebasan dan wang untuk menyara keluarganya.

Seorang balu datang kepada Elisa dengan masalah kewangan, dan takut anak-anaknya akan dijual sebagai hamba untuk membayar hutang-hutangnya (2 Raja-Raja 4). Dia tidak mempunyai sebarang aset melainkan sebuah kendi berisi minyak. Tuhan menggandakan minyak yang mencukupi untuk mengisi bejana-bejana yang dipinjam untuk menyelesaikan hutang-hutang tersebut serta menjaga keperluan harian mereka (ayat 7).

Tuhan membekalkan kewangan kepada balu itu melalui cara yang hampir sama dengan penyelamatan yang diberikan-Nya kepada saya. Saya telah menjadi papa kedana kerana dosa, tetapi Yesus telah membayar hutang saya—dan menawarkan kehidupan abadi kepada saya! Tanpa Yesus, kita adalah seperti budak lelaki desa yang miskin, kita tidak mampu membayar kepada Raja bagi kesalahan yang kita lakukan terhadap-Nya. Namun Tuhan telah membekalkan penebusan yang luar biasa ini bagi kita secara ajaib, dan memastikan bahawa mereka yang percaya kepada-Nya akan memiliki kehidupan yang berlimpah-limpah untuk selama-lamanya.