Suara doa syafaat daripada seseorang yang mengasihi kita adalah suatu bunyi yang sungguh indah. Apabila seorang kawan berdoa bagi pihak kita dalam nada yang penuh belas kasihan serta diberikan ilham daripada Tuhan, ia seolah-olah Tuhan bercakap kepada kita secara langsung.
Alangkah indahnya untuk mengetahui bahawa doa kita juga boleh sampai ke syurga disebabkan kebaikan Tuhan. Kadangkala ketika kita berdoa, kata-kata kita amat terhad dan kita berasa tidak layak, tetapi Yesus mengajar para pengikut-Nya agar “sentiasa berdoa dan tidak putus asa” (Lukas 18:1). Firman Tuhan menunjukkan kepada kita bahawa salah satu sebab kita boleh sentiasa berdoa kerana Yesus sendiri “berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita” (Roma 8:34).
Kita tidak pernah berdoa sendirian kerana Yesus sedang berdoa syafaat bagi pihak kita. Dia mendengar doa yang kita naikkan, dan Dia bercakap kepada Bapa yang di syurga bagi pihak kita. Janganlah kita bimbang akan keterbatasan kata-kata kita, kerana tiada seorang pun yang boleh memahami kita seperti Yesus. Dia menolong kita dalam segala aspek kehidupan, membawa permohonan-permohonan kita ke hadapan Tuhan. Dengan kebijaksanaan dan kasih yang sempurna, Dia menangani setiap permohonan kita, dan Dia tahu jika permohonan kita tidak bersesuaian dengan keperluan kita.
Yesus ialah rakan doa yang sempurna—sahabat yang teramat baik serta berdoa syafaat bagi kita. Doa-doa-Nya bagi kita sungguh indah tak terkatakan, dan seharusnya mendorong kita sentiasa berdoa dengan hati yang bersyukur.
Tiada keistimewaan yang lebih hebat daripada berdoa bersama Yesus.