Marc masih ingat suatu masa ketika dia masih kecil, bapanya mengumpulkan keluarga mereka dan memberitahu mereka bahawa kereta mereka sudah rosak dan mereka akan kehabisan wang pada penghujung bulan. Namun dalam keadaan sedemikian, bapanya berhenti sejenak dan berdoa. Kemudian dia meminta semua ahli keluarga menantikan jawapan Tuhan.

Marc teringat akan bagaimana pertolongan Tuhan tiba dalam cara yang menakjubkan. Seorang sahabat telah membantu membaiki kereta mereka; beberapa keping cek muncul secara tidak terduga; ada orang yang menghantar makanan ke rumahnya. Masa itu adalah mudah untuk memuji Tuhan. Sikap bersyukur keluarga Marc telah dibentuk dalam kesusahan hidup.

Mazmur 57 telah lama memberikan banyak inspirasi bagi lagu-lagu pujian dan penyembahan. Ketika Daud mengisytiharkan, “Maha Tinggi Engkau, ya Allah, memerintah langit” (ayat 11), mungkin kita membayangkan dia sedang menengadah ke langit di Asia Barat yang indah pada waktu malam atau mungkin dia menyanyi dalam kebaktian di Khemah Suci. Namun sebenarnya, masa itu Daud berasa ketakutan kerana nyawanya terancam dan bersembunyi dalam sebuah gua.

Daud menulis dalam Mazmur, “Jiwaku dikepung singa”. Gigi “anak-anak manusia yang ganas” ini bagaikan “lembing dan anak panah, dan lidah mereka pedang yang tajam” (ayat 4). Lagu pujian Daud itu dihasilkan ketika dia menghadapi krisis hidup. Walaupun dalam keadaan dikepung oleh musuh yang hendak membunuhnya, Daud dapat menulis kata-kata yang indah ini: “Hatiku teguh, ya Allah, hatiku teguh; aku akan menyanyi dan menggubah pujian” (ayat 7).

Jika kita menghadapi sebarang kesusahan hidup, kita boleh datang kepada Tuhan dan memohon pertolongan-Nya. Maka, kita boleh memuji Dia dan menunggu dengan penuh harapan, yakin akan perlindungan dan penjagaan kreatif-Nya yang tidak terbatas.