Selepas mengalami peperangan dan kemusnahan selama berabad-abad, kini kota Yerusalem yang moden boleh dikatakan sebagai sebuah kota yang dibangun pada puingnya sendiri. Semasa kami sekeluarga melawat kota itu, kami melalui jalan Via Dolorosa (Jalan Penderitaan), jalan yang digunakan oleh Yesus ketika Dia menuju ke tempat penyaliban. Hari itu sangat panas, jadi kami berehat seketika dan turun ke tingkat bawah biara “Sisters of Zion” yang lebih dingin. Di situlah saya tertarik akan laluan berturap purba yang ditemui semasa pembinaan baru-baru ini—batu yang terukir dengan permainan tentera Rom ketika mereka bersantai.
Laluan berbatu-batu yang purba itu kemungkinan wujud sesudah penyaliban Yesus dan ia telah membuat saya memikirkan kehidupan rohani saya pada masa itu. Seperti seorang askar yang berasa bosan menggunakan permainan untuk menghabiskan waktu, saya telah menjadi seorang yang alpa terhadap Tuhan dan sesama manusia kerana sudah berpuas hati dalam keselesaan. Saya amat terharu apabila teringat akan dekat dengan tempat yang saya berdiri, Tuhan dipukul, dihina, dianiaya, dan didera untuk menanggung akibat daripada segala kegagalan dan pemberontakan saya.
“Tetapi dia terluka oleh sebab segala pelanggaran kita, dia dihancurkan oleh sebab segala kesalahan kita. Pengajaran yang mendatangkan kesejahteraan bagi kita ditimpakan kepadanya dan oleh bilur-bilurnya kita sembuh” (Yesaya 53:5).
Penemuan saya ini masih mengingatkan saya tentang rahmat Yesus yang lebih besar daripada dosa saya.