Semasa mengunjungi Galeri Seni Kebangsaan di Washington, Amerika Syarikat, saya melihat sebuah lukisan yang bertajuk “Angin”. Lukisan itu menunjukkan angin ribut bertiup di sebuah hutan. Pokok-pokok tinggi lagi kurus dan semak samun juga dipukul ribut ke sebelah kiri.

Walau bagaimanapun, ada kuasa yang jauh lebih hebat daripada ribut, iaitu Roh Kudus, yang boleh menggerakkan hati orang percaya ke arah kebaikan dan kebenaran Tuhan. Jika kita menuruti Roh, kita akan menjadi lebih berani dan penyayang. Kita juga akan menjadi lebih bijak untuk menangani keinginan-keinginan kita (2 Timotius 1:7).

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah situasi, apabila Roh Kudus menggerakkan kita menuju ke arah kematangan dan perubahan secara rohani, kita enggan tunduk kepada-Nya. Menurut firman Tuhan, sikap yang terus menolak desakan Roh Kudus disebut sebagai “memadamkan kemarakan api Roh Kudus” (1 Tesalonika 5:19). Lama-kelamaan perkara yang salah akan dianggap tidak salah.

Apabila hubungan kita dengan Tuhan kelihatan semakin dingin dan putus, ia mungkin disebabkan kita telah semakin memadamkan kemarakan api Roh Kudus. Jika ini berterusan, semakin sukarlah untuk kita menemui punca masalahnya. Syukurlah kita boleh memohon kepada Tuhan untuk menunjukkan dosa kita. Jika kita bertaubat daripada dosa dan mengabdikan diri semula kepada Dia, Tuhan akan mengampuni kita dan membaharui kuasa dan pengaruh Roh Kudus-Nya dalam kita.