Saya amat gemar memandang Grand Canyon. Setiap kali apabila saya berdiri di tebing ngarai ini, saya terpegun kerana melihat lurah-lurah hasil ciptaan Tuhan.

Walaupun Grand Canyon hanya sebuah “lubang” (yang sangat besar) di bumi, saya dapat membayangkan syurga melalui pemandangan itu. Seorang budak berumur 12 tahun pernah bertanya kepada saya, “Tidakkah syurga itu membosankan? Tidakkah kita akan berasa bosan memuji Tuhan sepanjang masa?” Pada pendapat saya, sedangkan Grand Canyon sahaja sudah boleh membuatkan kita rasa amat kagum sehingga tidak bosan melihatnya, alangkah bahagianya apabila kita melihat Pencipta yang penyayang, yakni Sumber segala keindahan asli yang tidak terkata dalam dunia baru.

Dalam Mazmur 27:4, Daud menuliskan kerinduan ini, “Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN, akan kupohonkan: semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku, melihat keindahan TUHAN dan tinggal di dalam rumah suci-Nya.” Tiada sesuatu lain yang lebih indah daripada hadirat Tuhan. Apabila dengan iman kita mencari dan ingin bersemuka dengan-Nya satu hari nanti, Dia akan hadir.

Pada hari kita bersemuka dengan Tuhan, kita tidak akan bosan memuji-Nya, kerana segala keindahan yang kita saksikan akan sentiasa baru. Setiap saat dalam hadirat-Nya akan membuatkan kita terpegun kerana keindahan dan kasih-Nya.