Saya dan anak perempuan saya sedang merancang untuk menghadiri satu perjumpaan keluarga. Disebabkan dia berasa cemas terhadap perjalanan itu, saya pun menawarkan diri untuk memandu kereta. “Okey, namun saya berasa lebih selamat jika menggunakan kereta saya, jadi bolehkah ibu memandunya?” Saya menganggap dia lebih suka keretanya kerana ruang yang lebih luas daripada kereta saya, jadi saya bertanya, “Adakah kereta saya terlalu kecil?” Katanya, “Tidak, cuma saya berasa selamat dalam kereta sendiri. Saya berasa terlindung.”
Kata-katanya telah mencabar saya untuk memikirkan “tempat selamat” saya sendiri. Saya terus teringat akan Amsal 18:10 yang berbunyi, “Nama TUHAN ialah menara yang kukuh, orang benar lari ke sana dan mendapat keselamatan.” Dalam Perjanjian Lama, tembok dan menara pengawal memberi amaran tentang bahaya dari luar dan melindungi semua penduduk di dalam sesebuah kota daripada bahaya. Maksud penulis Amsal ialah bahawa nama Tuhan (yang mewakili sifat, keperibadian, dan siapa diri-Nya) menyediakan perlindungan yang sebenar kepada orang yang percaya kepada-Nya.
Sesetengah tempat boleh menjadi tempat yang selamat untuk kita pada saat bahaya. Misalnya bumbung rumah yang teguh ketika angin ribut melanda, sebuah hospital yang menawarkan jagaan dan rawatan, dan pelukan daripada orang yang disayangi.
Apakah “tempat selamat” anda? Di mana sahaja kita mencari keselamatan, hanya kehadiran Tuhan yang menyertai kita dapat memberikan kekuatan dan perlindungan yang amat kita perlukan di tempat itu.
ketika kita berhadapan degan badai kehidupan.