Selepas saya dan isteri saya berpeluang untuk melawat Muzium Louvre di Paris, saya menelefon Addie, cucu perempuan kami yang berusia sebelas tahun. Apabila saya berkata bahawa saya telah melihat Mona Lisa, iaitu lukisan da Vinci yang terkenal, Addie bertanya, “Adakah dia tersenyum?”

Bukankah itu pertanyaan utama mengenai lukisan ini? Lebih daripada 600 tahun selepas Leonardo berjaya menggambarkan air muka ini dalam lukisan minyak, kita masih tidak pasti sama ada wanita itu tersenyum atau tidak. Walaupun kita terpesona dengan keindahan lukisan tersebut, kita masih tidak pasti akan perilaku Mona Lisa.

“Senyuman” merupakan sebahagian daripada daya tarikan lukisan tersebut. Tetapi sejauh manakah hal ini penting sebenarnya? Adakah Alkitab menyebut tentang senyuman? Pada hakikatnya, perkataan itu muncul kurang daripada lima kali dalam Alkitab, dan Alkitab tidak mengajar kita untuk senyum secara spesifik. Walau bagaimanapun, Alkitab mencadangkan supaya kita memiliki sikap yang membawa kepada senyuman—perkataan itu ialah sukacita. “Hatiku amat gembira,” kata Daud ketika dia memikirkan Tuhan (Mazmur 28:7). Kita harus “[gembira] tentang TUHAN” (Mazmur 33:1); peraturan Tuhan “menggembirakan hatiku” (119:111); dan kita “bersukacita” kerana “TUHAN telah melakukan perbuatan yang hebat-hebat untuk [kita]” (126:3).

Jelas sekali, kegembiraan yang disediakan Tuhan melalui segala-galanya yang dilakukan-Nya untuk kita, membawa senyuman pada wajah kita.