Pada kali pertama saya melihat dia, saya menangis. Dia kelihatan seperti bayi baru lahir yang biasa sedang tidur di katilnya. Tetapi kami tahu bahawa dia tidak akan bangun lagi, sehingga dia berada dalam pangkuan Yesus.

Dia hidup beberapa bulan sahaja. Kemudian ibunya memberitahu kami tentang kematiannya melalui e-mel yang sangat menyayat hati. Dia menulis tentang “rasa sakit yang teramat mendalam, yang mengerang dalam hati anda.” Kemudian dia berkata, “Tuhan telah mengukir kasih-Nya dalam hati kami melalui hidup anak kecil ini! Sangat berkuasanya hidup ini!

Sangat berkuasa? Bagaimana mungkin dia boleh mengatakan demikian?

Bayi lelaki kesayangan keluarga ini menunjukkan kuasa ini kepada mereka dan kita, bahawa kita perlu bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Terutamanya apabila berlaku perkara-perkara yang teruk! Kebenaran yang sukar namun juga menghiburkan adalah Tuhan menyertai kita dalam kesakitan kita. Dia memahami kesedihan akan kehilangan Anak-Nya yang tunggal.

Dalam kesakitan kita yang sangat mendalam, kita berpaling kepada nyanyian Daud kerana dia menulis berdasarkan kesedihan dirinya sendiri. “Berapa lamakah aku akan bergelut dengan fikiranku sendiri sedangkan hatiku duka setiap hari?” tanyanya (Mazmur 13:2). “Pulihkan sinar mataku, agar aku tidak lelap dalam maut” (ayat 3). Walaupun Daud melontarkan pertanyaan-pertanyaan ini kepada Tuhan, dia masih berkata, “Tetapi aku yakin akan kasih setia-Mu; aku bersukacita dalam penyelamatan-Mu” (ayat 5).

Hanya Tuhan mampu membawa makna yang terpenting daripada peristiwa yang paling tragis dalam hidup kita.