Dalam satu persidangan di Asia, saya mempunyai dua perbualan yang membuka minda dalam tempoh beberapa jam. Pertama, seorang pastor memberitahu bahawa dia telah dipenjarakan selama sebelas tahun atas tuduhan salah yang terlibat dengan pembunuhan, sebelum namanya dibersihkan. Kemudian, beberapa keluarga berkongsi bagaimana mereka telah membelanjakan banyak duit untuk melarikan diri daripada penganiayaan agama di tanah air mereka, tetapi akhirnya mereka dikhianati oleh orang yang dibayar untuk menyelamatkan mereka. Kini, selepas bertahun-tahun berada di kem pelarian, mereka tertanya-tanya jika mereka akan memiliki tempat tinggal yang tetap.
Dalam kedua-dua kes itu, keadaan pemangsaan diburukkan lagi dengan ketiadaan keadilan—salah satu bukti kehancuran dunia kita. Tetapi keadaan yang tiada keadilan ini tidak akan berkekalan.
Mazmur 67 merupakan panggilan kepada umat Tuhan untuk menjadikan Dia dikenali oleh dunia kita yang merana. Hasilnya adalah kegembiraan, bukan sahaja sebagai tindak balas kepada kasih Tuhan tetapi juga kerana keadilan-Nya. “Biar bangsa-bangsa bersukacita dan menyanyi kegirangan,” kata pemazmur, “kerana Engkau akan menghakimi manusia dengan adil dan memerintah bangsa-bangsa di bumi” (ayat 4).
Walaupun para penulis Alkitab memahami bahawa “ekuiti” (keadilan dan kesaksamaan) adalah komponen utama kasih Tuhan, mereka juga tahu bahawa ia akan hanya dapat direalisasikan sepenuhnya pada masa hadapan. Sehingga masa itu, di dunia kita yang tiada keadilan, kita dapat melayani dengan memimpin orang lain untuk mengenal keadilan Tuhan kita. Kedatangan-Nya akan memperlihatkan “keadilan bergulung-gulung seperti air dan kebenaran seperti sungai yang selalu mengalir” (Amos 5:24).