“Kenapa anda boleh memperlakukan saya dengan begitu baik walaupun anda tidak mengenali saya!”
Oleh sebab beberapa keputusan yang salah, kesudahannya Linda telah dipenjarakan di negara asing. Dia dipenjarakan selama enam tahun, dan apabila dia dibebaskan, dia tidak tahu bagaimana menjalankan kehidupan seterusnya. Dia berfikir hidupnya telah berakhir! Sementara keluarganya mengumpulkan wang untuk membeli tiket supaya dia dapat pulang, sepasang suami isteri menawarkan penginapan, makanan dan bantuan kepadanya. Linda amat terharu dengan kebaikan mereka sehingga dia sanggup mendengar mereka menceritakan berita baik mengenai Tuhan yang mengasihi dia dan Tuhan mahu memberikannya peluang kedua.
Linda mengingatkan saya tentang Naomi, seorang balu dalam Alkitab yang telah kehilangan suami dan kedua-dua orang anak lelakinya di negeri asing. Dia juga pernah berfikir bahawa hidupnya sudah berakhir (Rut 1). Walau bagaimanapun, Tuhan tidak pernah melupakan Naomi, dan melalui kasih menantu perempuannya serta belas kasihan seorang baik yang bernama Boas, Naomi melihat kasih Tuhan dan telah diberi peluang kedua (4:13-17).
Tuhan yang sama mengasihi kita pada hari ini. Melalui kasih orang lain, kita boleh diingatkan akan kehadiran-Nya. Kita dapat melihat kasih kurnia Tuhan melalui tangan orang yang memberi bantuan, orang yang kita mungkin tidak mengenal pun. Namun, hal terutama adalah Tuhan bersedia memberi kita suatu permulaan baharu. Kita hanya perlu, seperti Linda dan Naomi, percaya bahawa Tuhan bekerja dalam kehidupan seharian kita, dan menyedari bahawa Dia tidak akan berhenti untuk menunjukkan kebaikan-Nya kepada kita.